-->

Remaja Lelaki Ini Tak Malu Jual Kek, Jual 50 Bekas Kek Sehari

- September 10, 2019
Remaja Lelaki Ini Tak Malu Jual Kek, Jual 50 Bekas Kek Sehari

Minat mendalam dalam bidang pastri sejak bangku sekolah menjadi pendorong buat seorang pemuda mencari rezeki dengan menjual kek biarpun ia biasanya dilakukan golongan wanita.

Wan Muhammad Amin Wan Razali, 20, yang juga pemegang Sijil Kolej Komuniti (SKK) (M) Pastri dari Kolej Komuniti Jeli, tidak menghiraukan ‘suara sumbang’ yang mempertikaikan usahanya mencari rezeki melalui menjual kek.

Katanya, sejak usia tujuh tahun, dia sudah didedahkan dengan cara pembuatan kek kerana sering mengikuti dan membantu ibunya, Sharmila Deraman, 46, bekerja di kedai roti dan kek berdekatan rumah mereka.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, (SPM), saya terus memohon kemasukan ke Kolej Komuniti dengan memilih bidang pastri, malah ia disokong sepenuhnya oleh kedua-dua ibu bapa saya.

“Dengan menggunakan kemudahan media sosial, saya mempromosikan kek seperti Brownies, Red Velvet dan kek Coklat hasil tangan saya melalui Facebook serta Instagram, selain turut dibantu ayah, Wan Razali Wan Jusoh, 54, yang mengedar risalah di sekitar Kota Bharu dan Kubang Kerian.

“Ramai antara pelanggan yang memberi respon positif kerana kek yang saya hasilkan mempunyai tekstur yang lembut, dengan rasa yang tidak terlalu manis serta menggunakan bahan berkualiti tinggi, sekali gus menjadikan pilihan ramai pelanggan” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Temusu, Limbat, Pasir Tumboh, di sini.

Wan Muhammad Amin turut menjadikan Datuk Fazley Yaakub sebagai idolanya dalam bidang pastri dan dia percaya mampu berjaya jika usahanya itu berterusan selain mendapat doa serta sokongan daripada ibu bapanya.

Katanya, ada masanya dia menyiapkan sebanyak 50 bekas kek sehari terutama ketika hujung minggu dan cuti sekolah kerana menerima permintaan yang tinggi.

“Saya menjual kek pada harga RM10 hingga RM60 sebekas bergantung kepada permintaan pelanggan. Selain itu, saya turut menerima tempahan kek bertingkat untuk majlis kahwin dengan harga serendah RM150.

“Ramai dalam kalangan rakan yang mempertikaikan usaha saya kerana beranggapan orang lelaki yang menjual kek adalah mereka yang bersifat lembut, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk membuktikan kepada mereka bahawa bidang pastri ini boleh dimonopoli golongan lelaki.


“Insya-Allah, dalam masa terdekat saya akan membuka kedai kek di Pasar Ketereh, di sini dan akan memfokuskan sepenuhnya kepada kedai terbabit sebagai langkah permulaan untuk memulakan perniagaan,” katanya yang juga anak keempat daripada lima adik beradik.

Sumber artikel asal : Bharian

Advertisement


EmoticonEmoticon

 

Start typing and press Enter to search