-->

Juruteknik Jadi Penternak Kambing Berjaya

- September 10, 2019

Minat mendalam terhadap bidang penternakan mendorong bekas juruteknik menjual rumah didiaminya untuk berhijrah ke kampung bagi memelihara kambing.

Syaderi Abdul Latif, 44, berkata selain menjual rumahnya di Semenyih, Selangor, lapan tahun lalu, beliau turut berhenti kerja untuk pulang ke Kampung Kubang Depu, Hulu Besut, meskipun bakal digelar ‘pengembala kambing’.

Sebagai permulaan beliau membeli 15 ekor kambing pedaging, dan terpaksa hidup berjimat-cermat kerana pendapatannya tidak tetap, biasanya di bawah RM1,000 sebulan.

“Bagaimanapun, pada 2017 saya mula menukar strategi daripada memelihara kambing pedaging kepada kambing susu. Ketika itu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sedang mencari peserta untuk dilatih bagi menghasilkan susu kambing,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, beliau mengikuti program sistem pawah yang diilhamkan UniSZA dengan membekalkan setiap peserta sebanyak lima ekor induk kambing baka ‘UniSZA Saanen’ serta diajar cara menjaga haiwan itu bagi menghasilkan susu bermutu.

Menerusi program itu, Syaderi mula mengeluarkan modal kira-kira RM150,000 bagi menambah 10 ekor lagi kambing susu dan membuat kandang baharu.

“Dulu saya sering diperli (dipersenda) orang kampung kerana menggunakan duit yang banyak untuk bina kandang kambing sehingga rumah saya yang dalam proses pembinaan tergendala beberapa tahun dan belum siap sehingga kini,” katanya.

Kini, beliau memiliki kira-kira 80 ekor kambing susu setelah membeli baka induk dengan harga RM4,000 seekor dan anak kambing susu berharga RM1,500 seekor.

Syaderi berkata, tidak ramai usahawan yang ingin mengusahakan kambing susu, kerana sifatnya yang ‘manja’ dan mudah terdedah kepada penyakit, selain kos pengurusan yang agak tinggi berbanding kambing kampung yang lebih mudah dijaga.

Dengan memelihara haiwan itu, beliau juga mampu memperoleh kira-kira 20 hingga 30 kilogram susu kambing segar setiap hari, diproses dan dibotolkan dalam lima perisa iaitu susu kurma, sirap bandung, coklat, jagung dan susu asli.

Susu berkenaan dijual secara borong kepada pembekal dengan harga RM10 hingga RM15 bagi empat botol bersaiz 250 liter mengikut pakej yang ditawarkan.


“Susu itu tidak boleh terdedah pada suhu bilik dalam tempoh yang lama dan jika ingin mengekalkan kesegarannya ia perlu dibekukan dan hanya dikeluarkan apabila ingin digunakan sahaja,” katanya yang kini memasarkan produk keluarannya sehingga ke Kuala Lumpur. - BERNAMA 

Advertisement


EmoticonEmoticon

 

Start typing and press Enter to search