Slider Widget

Cara Mudah Dan Selamat Beli Produk Di Alibaba

Bagaimana beli produk di Alibaba? persoalan ini selalu diajukan kepada kami. Kali ini, kami akan kongsikan sedikit maklumat cara selamat bagaimana membuat pembelian online dari laman web Alibaba.


Apa Itu Alibaba?


Alibaba merupakan laman web e-commerce yang terbesar di dunia. Ia memiliki direktori yang komprehensif yang menggabungkan ramai pembekal dari Asia dengan pembeli di serata dunia. Terdapat berjuta-juta produk yang ditawarkan di dalam laman web ini. 

Mudah saja nak beli dari Alibaba. Anda hanya perlu taip produk di kotak Search ataupun browse di bahagian kategori. Contohnya jika anda nak cari Mesin Aiskrim Lembut ( mesin soft ice cream machine ), taip saja mesin aiskrim dan pasti akan keluar banyak jenama dan jenis Mesin Soft Aiskrim.

Cara Selamat Beli Produk Di Alibaba

Terdapat beberapa perkara harus diambilkira apabila mencari barang dalam Alibaba. Mari kita lihat contoh barang iaitu Mesin Soft Aiskrim yang dicari dalam Alibaba. 

Cara Mudah Dan Selamat Beli Produk Di Alibaba



Harga Seunit

Perkara yang pertama sekali kita biasa nak tau adalah harga. Mengikut gambar di atas, harga sebuah mesin soft ice cream adalah USD450-990. Pembeli akan menanggung kos berkaitan penghantaran produk ke pelabuhan dengan potongan diskaun 50% OFF. Pembeli juga akan membayar kos sebenar penghantaran produk dari pelabuhan sehingga destinasi.

Kuantiti Pesanan Minimum (MOQ)

MOQ ataupun Minimum Order Quantity adalah jumlah pesanan minimum yang sanggup diterima pengilang. Namun begitu, ada juga pengilang yang boleh diajak berunding untuk menurunkan MOQ. Anda boleh cuba.

Kaedah Pembayaran

Setelah anda tahu harga dan MOQ, seterusnya anda perlu tahu tentang kaedah pembayaran. Terdapat beberapa cara pembayaran dan setiapnya memiliki kelebihan dan keburukan.

1. Upront TT (Bank Transfer)

Risiko kepada pembeli sangat tinggi. Di sini pembekal akan menerima pembayaran sebelum pengeluaran produk dimulakan. Kaedah ini sangat berisiko untuk pembeli dan biasanya tidak digalakkan terutama bagi pembelian pertama kali lebih-lebih lagi bila berurusan dengan pembekal yang tidak dikenali. Sekiranya anda ditipu, peluang untuk mendapatkan kembali wang anda sangat tipis.

2. Letter of Credit

Cara pembayaran ini selamat dan adil untuk kedua pihak. Akan tetapi kaedah ini rumit dan biasanya hanya syarikat besar yang menggunakannya.

3. Western Union

Risiko tinggi di pihak pembeli. Ia merupakan kaedah pembayaran yang sangat berisiko dan tidak digalakkan. Kaedah ini boleh digunakan jika anda pernah berurusniaga atau kenal dengan pembekal. 

4. Paypal

Cara ini selamat. Paypal sangat popular digunakan kerana ia mudah, risiko rendah dan ada perlindungan. Walaupun ia popular di kalangan pembeli, ia tidak popular bagi pembekal kerana kerumitan untuk mengeluarkan wang dan cukai tinggi.

5. Escrow

Escrow sangat selamat digunakan dan melindungi pembeli dan pembekal. Apabila menggunakan Escrow, wang pembeli akan ditahan oleh pihak ketiga dan hanya akan dibayar kepada pembekal setelah pembeli mengesahkan penerimaan barang.


Masalah Yang Timbul Dalam Mencari Pembekal/Supplier


Membeli dari Alibaba adalah selamat namun antara masalah yang timbul di dalam mencari pembekal:

1. Orang tengah

Di dalam Alibaba terdapat beriru-ribu pembekal/pengilang dan tidak semua pengilang itu adalah pengilang sebenar. Ada orang tengah yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga produk pengilang sebenar dan ia boleh melambatkan proses pembelian.

2. Scammer 

Orang tengah mungkin hanya menambahkan kos anda dengan meletakkan caj yang lebih tinggi. Scammer pula mengambil kesemua wang anda tanpa belas kasihan. Walaupun Alibaba telah berusaha membuang scammer dari laman web mereka, anda perlu sentiasa berhati-hati kerana mungkin ada pembekal yang tidak jujur.

3. Kualiti

Banyak produk yang diiklankan sebagai berkualiti dan premium. Namun hakikatnya kualiti yang dikatakan itu berkualiti tidak seperti yang kita harapkan.


Cara Elak Ditipu Ketika Pembelian Di Alibaba


Oleh itu bagi mengelakkan diri daripada ditipu, antara langkah yang perlu anda ambil adalah:

1. Pembekal yang sah atau verified supplier

Alibaba memiliki program pengesahan tersendiri yang melibatkan level tertentu. Anda perlu pilih pembekal yang disahkan saja. Adalah lebih baik untuk memilih pembekal yang mempunyai level Gold Membership.

2. Tanya soalan dan follow up

Sentiasa bertanya soalan dan follow up dengan pembekal yang telah anda senaraipendekkan. Tanya lesen perniagaan dan nombor telefon. Minta gambar kilang dan juga sampel produk. Jangan segan dan takut untuk bertanya apasaja yang timbul di fikiran.

3. Minta sampel

Sebelum anda membuat pembelian sebenar, anda perlu minta sampel terlebih dahulu supaya anda dapat tengok dengan mata sendiri kualiti barang sebenar.

Jika anda rasa pembekal menimbulkan banyak keraguan seeloknya jangan beli.


Soalan Lazim Perlu Ditanya Kepada Supplier Sebelum Beli


Apabila anda ingin hantar email kepada pembekal, antara perkara yang perlu ditanya adalah:

1. MOQ 

Jika MOQ terlalu tinggi anda boleh cuba bertanya jika dapat dikurangkan.

2. Sampel

Anda perlu minta sampel supaya dapat lihat contoh produk. Ada sampel yang perlu dibayar dan ada yang percuma.

3. Harga Pengeluaran

Paling penting adalah berapa harga produk seunit. Biasanya di dalam Alibaba, pembekal meletakkan harga seunit di dalam lingkungan seperti $2-5. 

4. Tempoh pengeluaran

Anda perlu tanya berapa lama kilang ambil masa untuk siapkan satu-satu order.

5. Kaedah Pembayaran 

Kaedah pembayaran selalunya dipaparkan. Namun, perlu ditanya juga dan memilih cara pembayaran yang lebih selamat seperti yang kami terangkan diatas.


Nota: Jika anda ingin memborong atau membeli barang/produk dari China selain Alibaba, kami syorkan kepada anda 2 laman web yang popular disana iaitu Taobao.com dan 1688.com. Anda boleh membuat pembelian walaupun dengan MOQ hanya 1 unit sahaja. Dapatkan panduan borong di Taobao ( klik sini ) dan panduan borong dari 1688 ( klik sini ).

Sekarang anda dah tahu cara selamat beli produk dari Alibaba. Semoga anda berjaya!

Post a Comment

0 Comments