Cara Memulakan Perniagaan Tudung. Seiring dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup, rakyat Malaysia terutamanya suri-rumah tangga perlu mencari jalan untuk untuk menjana pendapatan sampingan bagi menampung keperluan hidup terutamanya apabila berhadapan dengan musim-musim perayaan. Persoalannya sekarang adalah; Apa yang perlu dilakukan untuk menjana pendapatan tersebut? Jawapan yang paling mudah adalah dengan memulakan perniagaan anda sendiri dari rumah. Persoalan seterusnya yang mungkin timbul adalah; Perniagaan apa yang sesuai?
Mendatangkan keuntungan atau tidak? Untuk menjawab kesemua persoalan itu, mari kita lihat pula ‘trend’ semasa masyarakat di Malaysia. Trend terkini di Malaysia adalah perniagaan online. Semua barang kini boleh kita dapati dengan mudah melalui online. Bukan sahaja menjimatkan masa, malah banyak kos yang boleh dijimatkan jika membeli-belah secara online.
Berikutan trend semasa inilah, ramai individu tekad untuk mencuba nasib dengan memulakan perniagaan online mereka sendiri. Perniagaan online yang paling ‘trending’ pada masa kini tentulah perniagaan yang berkaitan dengan wanita iaitu tudung atau shawl (selendang)!
Mengapa perniagaan tudung/shawl?
Trend menjual tudung/shawl secara online semakin meningkat naik dan mendapat permintaan yang sangat tinggi di kalangan wanita terutamanya remaja. Jika kita melakukan carian di Google, terdapat banyak perniagaan online yang menjual pelbagai jenis tudung/shawl dengan harga yang berpatutan. Hasil daripada carian ini membuktikan bahawa permintaan terhadap tudung/shawl secara online adalah sangat tinggi dan anda sepatutnya mengambil peluang keemasan ini untuk menjana pendapatan sampingan mulai dari sekarang. Jangan risau tentang saingan sedia ada yang terdapat di pasaran, kerana tudung/shawl merupakan sesuatu keperluan yang dekat di hati wanita berhijab.
Wanita tidak akan berhenti membeli tudung/shawl walaupun mereka sebenarnya sudah mempunyai berpuluh atau beratus helai tudung kerana setiap helai tudung itu mempunyai nilainya yang tersendiri dan sesuai dipadankan untuk pakaian yang tertentu sahaja. Jadi tidak hairanlah jika wanita mempunyai pelbagai jenis tudung mengikut saiz, warna dan kualiti yang berbeza-beza kerana tarikan tudung itu sendiri yang membuatkan wanita untuk terus membeli. Jika dilihat dari dasarnya, memang nampak seperti satu pembaziran, tapi jika dilihat dari sudut kita sebagai penjual, niche ini sangat bagus dan membantu kerana kita bakal mempunyai sasaran pelanggan yang tidak putus-putus!
Bagaimana nak bermula?
Perkara paling penting untuk memulakan apa sahaja perkara tentulah minat dan kesungguhan. Tanpa minat, mungkin anda boleh lupakan sahaja impian untuk memiliki perniagaan sendiri kerana apabila kita bertemu dengan kegagalan, hanya individu yang mempunyai minat yang mendalam sahaja akan bangkit semula untuk mencipta kejayaan.
Perkara lain yang perlu diambil kira tentulah produk yang ingin dijual. Persoalan yang biasa timbul tentulah sama ada untuk membeli secara borong dan jual semula dengan harga yang murah atau menghasilkan sendiri tudung tersebut. Untuk peringkat permulaan, mungkin kita boleh menghasilkan sendiri kerana kekangan modal yang kecil. Tetapi, masalah akan mula timbul jika kita tidak mempunyai kemahiran menjahit. Oleh itu, cara yang terbaik adalah dengan memilih dan membeli sendiri kain yang kita ingin jadikan tudung dan menghantarnya kepada tukang jahit. Kita boleh memotong sendiri kain tersebut mengikut rekaan yang kita kehendaki dan menghantar kepada tukang jahit untuk dijahit tepi. Kos yang terlibat juga adalah sedikit berbanding jika kita membeli terus secara borong.
Bagaimana nak mengiklankan produk?
Setelah mempunyai produk, langkah seterusnya yang perlu kita fikirkan adalah cara untuk mengiklankan produk tersebut. Disebabkan kita menjalankan perniagaan tudung/shawl secara online, terdapat beberapa medium sesuai yang boleh kita gunakan untuk mengiklankan produk.
#1 Facebook - Jika selama ini anda menggunakan Facebook hanya untuk berkongsi status atau gambar terbaru, apa kata kali ini anda gunakan Facebook untuk membuat promosi tentang produk tudung/shawl yang anda ingin jual. Hal ini lebih mudah kerana anda sudah mempunyai rakan yang sedia ada di Facebook dan tidak perlu susah-susah lagi untuk mencari pelanggan.
#2 Instagram/Twitter - Sama seperti Facebook, gunakan media sosial ini untuk mempromosikan perniagaan anda. Tapi, harus diingat, jangan melakukan promosi secara berlebihan seperti ‘tag’ atau komen tentang perniagaan anda di gambar/page yang tidak sepatutnya hingga mengganggu privasi rakan-rakan anda.
Baca juga - Panduan Tingkatkan Follower & Lonjakkan Jualan Di Instagram
#3 Iklan di web pengiklanan - Anda boleh mengiklankan perniagaan anda di website iklan sedia ada seperti mudah.my atau majalah.com. Bukan sahaja tidak melibatkan kos, malah jaringan pelanggan juga lebih luas dan ini merupakan peluang terbaik untuk memulakan perniagaan anda!
#4 Blog - Jika anda menggunakan blog untuk mempromosikan produk tudung/shawl, anda mempunyai kawalan terhadap blog anda sendiri. Namun, anda perlu memastikan yang blog anda menarik dan mempunyai nama yang senang untuk diingat. Kemudian, jangan lupa untuk sertakan ‘link’ ke blog anda di semua media sosial yang anda ada untuk tujuan promosi. Pastinya sangat membantu!
Senarai perniagaan tudung/shawl online popular di pasaran
Radiusite - Bermula dengan perniagaan secara online, kini Radiusite meluaskan empayarnya dengan memiliki butiknya sendiri di Bangi. Rekaan tudungnya bukan sahaja segar dan unik, malah dijual dengan harga yang sangat berpatutan. Kini Radiusite melangkah setapak lagi ke hadapan dengan menjadi penaja untuk beberapa artis dan drama tempatan.
Al-Humaira Contemporary - Bukan sahaja menjual pelbagai jenis tudung/shawl daripada pelbagai fabric, syarikat ini kini tampil dengan koleksi jubah menawan sesuai untuk hijabista yang gemarkan rekaan yang elegan dan eksklusif. Jika malas mahu bersesak-sesak di butik, pelanggan boleh memilih untuk membeli secara online sahaja di website syarikat mereka. Layanan yang bakal anda terima tentunya tidak mengecewakan kerana mereka bukan sahaja menawarkan koleksi yang menarik malah memberikan servis yang terbaik kepada para pelanggannya.
Tip mudah
Bagi menarik perhatian pelanggan, anda perlu ‘upload’ gambar yang cantik dan menarik beserta dengan maklumat yang berkaitan tentang tudung/shawl anda. Hal ini akan membantu pelanggan untuk terus membuat pembelian. Jika tiada maklumat yang disertakan bersama gambar yang dimuat naik, pelanggan akan menghadapi masalah dalam membuat pilihan dan seterusnya membantutkan niat mereka untuk membeli tudung/shawl anda.
Baca juga - Bawal Exclusive Tudung Berjenama Mewah Harga Cecah RM33000 Pecah Rekod
Sumber: Usahawan.com
Advertisement
EmoticonEmoticon