-->

Kejayaan Homestay Di Malaysia

- January 23, 2018
Bercakap sebagai ahli panel pada forum ‘Face to face, Ministers and Private Sector CEOs’ bertajuk ‘Merangkul Kerjasama Serantau untuk Pertumbuhan Kolektif’, Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Dr Siew Ka Wei berkongsi mengenai kisah kejayaan Homestay Malaysia.

Kejayaan Homestay Di Malaysia

Program Homestay dibentuk pada tahun 1995 dan masih wujud sehingga ke hari ini sebagai contoh utama bagaimana kerajaan dan masyarakat serta sektor swasta dapat bekerjasama dalam jangka panjang menuju masa depan ekonomi dan sosial yang memberi manfaat kepada semua.

Malah, program ini juga berjaya sehingga pada 2012, ia menerima Anugerah UNWTO Ulysses untuk Innovation in Public Policy and Governance.

Dr Siew berkata, salah satu inisiatif perkongsian awam-swasta yang paling berjaya di Malaysia adalah Program Homestay Malaysia.

“Program ini memberi penekanan kepada penggunaan sumber kampung yang ada, pemuliharaan dan penyelenggaraan kebiasaan sosiokultural dan artistik kampung selain pengalaman menyoroti keunikan kehidupan desa Malaysia.

“Ia juga adalah inisiatif yang ditubuhkan untuk membolehkan keluarga yang tinggal di pinggir bandar dan kampung tradisional mengambil bahagian, sekali gus mendapat manfaat daripada aktiviti ekonomi pelancongan.

Program Homestay ini dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan wilayah, kerajaan negeri masing-masing dan Persatuan Homestay Malaysia.

Kampung yang menyertai program ini dipilih dengan teliti dan perlu mematuhi garis panduan ketat yang ditetapkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Latihan turut disediakan dan piawaian ditetapkan bagi kampung yang terbabit untuk mempersiapkan diri menerima pelancong pertama di rumah mereka.

“Bagi penduduk kampung, program homestay menyediakan sumber pendapatan tambahan kepada tuan rumah dan penginapan alternatif yang murah kepada pelancong.

“Di samping latihan perkhidmatan hospitaliti, mereka juga dipersiapkan dengan peluang keusahawanan melalui pengeluaran dan penjualan produk tempatan serta kraf tangan yang memberikan nilai tambah kepada pengalaman homestay bagi pelancong,” katanya.

Tambah Dr Siew lagi, program ini secara tidak langsung membantu menjadikan industri pelancongan sebagai sektor utama dan berdaya maju selain menjadi penyumbang kepada pembangunan sosioekonomi penduduk tempatan dan negara.


“Ia juga salah satu contoh utama pelancongan mampan Malaysia yang terbaik,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 201 kelompok homestay atau kampung yang memberikan pelbagai pengalaman unik suasana desa di setiap negeri di seluruh negara.


Advertisement


EmoticonEmoticon

 

Start typing and press Enter to search