-->

13 Jenis Resepi Air Minuman Detox Yang Menyihatkan

- May 23, 2018
13 Jenis Resepi Air Minuman Detox Yang Menyihatkan. Kesihatan harus diutamakan. Sebab itu, bukan saja kita perlu mengambil makanan yang seimbang malah kita perlu meminum air yang boleh menyihatkan badan kita.

Berikut adalah beberapa resepi air minuman berasaskan buah-buahan yang berfungsi sebagai detox yang menyihatkan badan kita. Antaranya adalah:


1. Teh hijau + daun pudina + limau nipis

18 Jenis Resepi Air Minuman Detox Yang Menyihatkan

Ramai yang tahu teh hijau bagus untuk mengurangkan berat badan. Untuk membuat air detox atau infused water ini rendamkan 10 helai teh hijau dengan air panas. Jika tiada daun teh hijau, boleh juga gunakan 2 sudu besar serbuk teh hijau. Rendam seketika dan tapis habuknya. Kemudian ambil perahan jus sebiji limau nipis dan 5 helai daun pudina. Gaulkan semua bahan ini ke dalam teko yang berisi air. Air ini sedap diminum ketika masih suam mahupun sejuk. Air detox ini membantu mempercepatkan proses pembakaran lemak dalam badan, melancarkan sistem pencernaan kita dan mengurangkan sakit kepala.


2. Strawberi + kiwi + daun pudina

18 Jenis Resepi Air Minuman Detox Yang Menyihatkan

Tubuh kita memerlukan glukosa untuk mendapatkan tenaga yang akan digunakan oleh tubuh agar dapat berfungsi dengan baik. Campuran strawberi, kiwi dan daun pudina berfungsi untuk menyokong gula dalam darah dan membantu sistem penghadaman dengan lebih baik. Resepi air minuman detox ini juga bagus diamalkan oleh mereka yang mengalami masalah kekurangan darah.

Gabungkan hirisan 2 biji buah kiwi dengan beberapa biji buah strawberi dan 7 helai daun pudina ke dalam jag minuman anda. Sejukkan seketika di dalam peti sejuk untuk lebih sedap. Kiwi kaya dengan Vitamin A dan E yang membantu melawan radikal bebas serta mengeluarkan toksin, manakala strawberi pula bagus untuk kesihatan dan kecantikan kulit.


3. Timun + lemon + limau nipis

18 Jenis Resepi Air Minuman Detox Yang Menyihatkan

Air detox ini dipanggil juga sebagai ‘detox water 3-in-1’. Hasil campuran timun, lemon dan limau nipis membantu menjadikan kulit lebih lembut, membantu masalah pencernaan dan sekaligus dapat mengawal selera makan anda. Jadi, kepada anda yang sedang berdiet, air minuman ini sangat sesuai untuk diamalkan kerana membantu mempercepatkan proses penurunan berat badan.

Kaedahnya, hiris sebatang timun, sebiji buah lemon dan sebiji limau nipis. Masukkan ketiga-tiga bahan ini ke dalam jag yang berisi 1 liter air. Boleh simpankan ia di dalam peti atau masukkan beberapa ketul kiub ais untuk lebih kesegaran.


4. Limau nipis + buah oren + lemon

18 Jenis Resepi Air Minuman Detox Yang Menyihatkan

Sistem pertahanan dalam tubuh manusia sangat berguna bagi memastikan agar kita kekal sihat dan bertenaga untuk melakukan pelbagai aktiviti harian. Dengan adanya sistem imun yang kuat, ia dapat melindungi tubuh kita seterusnya terhindar dari pelbagai jenis penyakit. Gabungan rendaman air detox ini terhasil daripada 1/2 biji limau nipis, 1/2 biji buah oren dan 1/2 biji buah lemon yang diperahkan jusnya atau boleh juga dibiarkan terendam selama beberapa jam di dalam gelas yang berisi air kosong. Boleh juga ditambahkan 3 helai daun pudina jika suka. Amalan minum air ini bukan sahaja dapat meningkatkan sistem pertahanan tubuh malahan memudahkan sistem perncernaan dan membantu melegakan pedih ulu hati.


5. Timun +  lemon + halia + daun pudina

18 Jenis Resepi Air Minuman Detox Yang Menyihatkan

Resipi air ini sangat membantu bagi mereka yang memiliki perut boroi atau buncit yang berhasrat untuk kempiskan perut. Resepi air ini sangat mudah untuk disediakan kerana bahan-bahannya juga senang diperolehi. Gabungan antara timun, lemon, halia dan daun pudina sangat bagus untuk mendapatkan perut yang menawan. Caranya, sediakan 1 jag air masak dan hiris sebatang timun, 1/2 biji lemon, 1/2 inci halia. Rendamkan kesemua bahan bersama segenggam daun pudina. Biarkan di dalam peti sejuk selama 2 hingga 3 jam sebelum nikmatinya ketika cuaca panas. Wah, kesegarannya sampai bergetar tulang rusuk.


6. Grapefruit + halia + lemon + limau nipis + daun pudina

18 Jenis Resepi Air Minuman Detox Yang Menyihatkan

Ambil sebiji buah grapefruit, 1/2 batang timun, 1/2 biji buah lemon dan sebiji buah limau nipis, kemudian dihiris-hiris. Campurkan kesemua bahan ini dengan beberapa helaian daun pudina ke dalam jag berisi air. Simpankannya di dalam peti sejuk selama 2 jam dan sedia untuk diminum.

Khasiat yang terkandung dalam buah grapefruit membantu dalam pembakaran lemak, manakala lemon dan limau nipis bertindak dalam penyingkiran toksin dalam badan. Halia yang bersifat anti-radang membantu mempercepatkan penyembuhan serta membuang angin dalam badan. Daun pudina pula memudahkan aktiviti perkumuhan sistem badan.


7. Epal merah + epal hijau + kulit kayu manis

18 Jenis Resepi Air Minuman Detox Yang Menyihatkan

Masukkan hirisan sebiji buah epal merah dan sebiji epal hijau dengan 1 batang kayu manis ke dalam jag yang berisi air. Sejukkan dalam peti ais selama 1 jam. Anda boleh menggunakan bahan ini berulang kali sehingga 4 kali. Campuran bahan-bahan ini dapat membantu mengurangkan lemak, menurunkan paras kolestrol dan meningkatkan kadar metabolisme.


8. Strawberi + tembikai + daun pudina

18 Jenis Resepi Air Minuman Detox Yang Menyihatkan

Warnanya yang merah terang sudah tentu mampu memikat dan menaikkan hasrat anda untuk mencuba air detox hasil gabungan kedua-dua buah ini. Campurkan secawan strawberi bersama 5 hirisan tembikai yang dipotong kecil dan rendamkannya ke dalam 1 jag air. Untuk aroma yang lebih memikat, masukkan beberapa helai daun pudina. Sejukkan air minuman ini antara 4 hingga 6 jam di dalam peti sejuk dan nikmatinya pada bila-bila masa. Khasiat air detox ini berfungsi sebagai anti-radang dan mencantikkan kulit.


9. Cuka epal + lemon + kulit kayu manis + epal

18 Jenis Resepi Air Minuman Detox Yang Menyihatkan

Cuka epal memang banyak khasiatnya. Tambahkan 2 sudu besar cuka epal pada pengisar yang sudah diisikan dengan 1 sudu jus lemon dan 1 serbuk kayu manis. Kisar sehingga halus. Masukkan ke dalam setengah jag air dan jangan lupa letakkan sebiji epal yang telah dihiris nipis. Gaul dan biarkan seketika supaya air sebati dengan bahan-bahan tersebut. Buah epal kaya dengan serat yang membantu memudahkan perkumuhan sementara kayu manis pula membantu mengawal selera makan.


10. Halia + lemon

18 Jenis Resepi Air Minuman Detox Yang Menyihatkan

Halia merupakan penawar bagi banyak penyakit yang berkaitan dengan sistem penghadaman dan pencernaan. Masukkan jus perahan 1/2 biji lemon dan hirisan 1/2 inci halia ke dalam air. Cuba amalkan air detox ini pada setiap pagi dan ia mampu merawat segala kesakitan dalam badan. Campuran halia dan lemon berhasil sebagai agen penyahtoksin dalam badan dan begitu berkesan sebagai ubat semula jadi dalam merawat selesema.


11. Aloe vera + lemon

18 Jenis Resepi Air Minuman Detox Yang Menyihatkan

Aloe vera membantu memudahkan penghadaman dalam perut, selain menghilangkan rasa letih dan meningkatkan tenaga. Kaedah penyediaannya adalah dengan mengambil sebatang aloe vera dan ambil isi berserta lendirnya, lalu dikisar halus dengan campuran perahan jus lemon sedikit air. Anda boleh juga menggunakan pati atau ekstrak aloe vera yang telah dijadikan gel sekiranya tidak tahan dengan rasa dan bau aslinya yang agak kuat. Campurkan 3 sudu gel aloe vera dan 2 sudu besar jus lemon. Kacau rata dan minum ketika sejuk.


12. Lemon + limau nipis + oren + timun + halia + daun pudina

18 Jenis Resepi Air Minuman Detox Yang Menyihatkan

Bagi yang sering kembung perut, boleh cuba amalkan minuman detox ini dengan mencampurkan 1/2 biji lemon, 1/2 biji limu nipis, 1/2 biji oren, 1/2 batang timun dan 1/2 inci halia. Hiriskan kesemua bahan dan rendamkan ke dalam 1 jag berisi air bersama-sama dengan segenggam daun pudina. Simpan dan sejukkan air ini ke dalam peti sejuk selama 2 jam. Kelebihan air detox ini ia dapat mencuci buah pinggang anda. Namun, sekiranya air detox ini tidak diminum dan dihabiskan dalam masa 24 jam, buangkan ia dan buat air menggunakan bahan-bahan yang baru.


13. Strawberi + nanas + cuka epal + daun basil

18 Jenis Resepi Air Minuman Detox Yang Menyihatkan

Corak gaya hidup masa kini yang kian mencabar sering membuatkan kita rasa stress dan tanpa sedar apa sahaja makanan atau minuman yang manis akan menjadi ‘santapan’ untuk kita tenangkan diri. Tetapi, tahukah anda bahawa pengambilan gula yang berlebihan terutamanya dalam minuman bikarbonat akan menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan terutamanya penyakit jantung, kegemukan dan diabetes.

Oleh itu, cara yang paling selamat dan berkesan untuk mengurangkan stressadalah dengan menggantikan segala manisan dengan minuman air detox yang berkhasiat iaitu campurkan 5 biji buah strawberi, 1/2 cawan nanas dipotong kecil, 2 sudu besar cuka epal, 5 helai daun basil dan beberapa kiub ais ke dalam jag yang berisi air. Gaulkan kesemua bahan ini sehingga sebati dan nikmatilah air minuman segar ini dengan rasa yang sedikit masam dan manisnya.

Sumber:diarikurus.com

Nak berniaga air balang? baca panduan memulakan Bisnes Air Balang disini - Klik Sini



Advertisement


EmoticonEmoticon

 

Start typing and press Enter to search