-->

Modal Bisnes Baju Bundle Hanya RM60, Wanita Ini Kongsi Kejayaannya

- April 17, 2018
Biasanya baju terpakai yang dijual diperoleh dari ejen tertentu yang membawa masuk dari luar negara.

Berbekalkan modal RM60, seorang bekas pemberita sambilan kini mampu tersenyum bangga apabila hasil penat lelah selama dua tahun berbaloi selepas mampu memiliki dua kedai pakaian terpakai.

Lebih unik, Rasmi Abdullah memulakan perniagaan kedai pakaian terpakai itu bukan dengan membelinya daripada syarikat pemborong luar negara, sebaliknya beliau pergi dari rumah ke rumah untuk mencari bekalan.

Modal Bisnes Baju Bundle Hanya RM60, Wanita Ini Kongsi Kejayaannya

Mesra dengan panggilan Mimie, beliau yang kini berusia 33 tahun berkata, sanggup menebalkan muka mengetuk pintu rumah jiran serta kenalan semata-mata untuk meminta mereka menjual baju terpakai pada harga RM1 sekilo (kg).

Katanya, untuk permulaan, beliau mampu membeli 60 kg pakaian sahaja dan selepas melihat keuntungan daripada jualan itu, Mimie nekad untuk meneruskan perniagaan pakaian terpakai sepenuh masa dan tidak lagi menoleh ke belakang selepas itu.

"Mulanya saya sekadar suka-suka menjual pakaian sendiri di rumah. Ketika itu, saya ada banyak baju yang tidak dipakai dan tidak tahu apa nak dibuat dengannya.

"Saya kemudian menjual baju sendiri melalui laman sosial Facebook dan apabila sambutan yang menggalakkan, saya terus terpikir, adalah lebih baik sekiranya saya membesarkan perniagaan saya dengan membeli pakaian terpakai daripada jiran.

"Kini usaha saya sejak Mac 2014 ternyata berbaloi. Bukan untuk mendabik dada, tetapi ia adalah satu kejayaan dan kebanggaan dalam hidup ini," katanya ketika ditemui BH.

Selepas beberapa bulan menjalankan perniagaan itu dari rumah dan selepas sudah tiada ruang lagi di rumah ibunya di Banting, Mimie membuat keputusan untuk menyewa dua buah kedai bagi menyimpan semua baju yang dibelinya.

Katanya, beliau menyewa kedua-dua ruang kedai berkenaan di Jenjarom sejak Februari 2015 yang juga menjadi lokasi penjualan utama pakaian terpakai.

Mimie yang mempunyai sepasang cahaya mata berkata, bukan mudah untuknya memulakan perniagaan mencari pakaian terpakai malah hampir setiap hari beliau akan memastikan alat penimbang dibawa ke mana-mana saja.

Katanya, beliau lebih selesa pergi sendiri ke rumah penjual pakaian terpakai jika ia berada di Lembah Klang bagi membolehkannya melihat sendiri siapa yang menjual pakaian berkenaan kepadanya.

"Bila kita lihat fizikal penjual, keadaan rumah, ia lebih meyakinkan terutama dari aspek kebersihan. Mereka juga akan menjual pakaian yang sudah dibasuh," katanya.

Modal Bisnes Baju Bundle Hanya RM60, Wanita Ini Kongsi Kejayaannya

Mimie berkata, selepas mempromosikan pembelian baju sekilo RM1 di laman sosial, perniagaannya mula mendapat sambutan apabila semakin ramai yang berminat menjual pakaian terpakai kepadanya.

"Mereka yang mahu menjual baju terpakai ini hanya perlu menghantar alamat rumah sebelum saya ke sana untuk mendapatkan pakaian berkenaan.

Beliau berkata, semua jenis pakaian termasuk baju bayi, tudung, kasut, dan beg turut dijual pada harga serendah RM1.

Katanya, sempena Ramadan ini, beliau akan mula mengumpulkan baju kurung dan baju Melayu untuk dijual kepada pelanggan.

"Tahun lalu, hampir 4,000 pasang baju kurung dan baju Melayu dapat dijual dengan harga RM5 hingga RM10. Ada juga pelanggan yang tidak percaya pada harga ditawarkan kerana baju itu masih cantik untuk digayakan di pagi Aidilfitri," katanya.

Nak tahu Cara Buat Duit Dengan Bisnes Baju Bundle? - Klik Sini

Semoga perkongsian kejayaan ini membakar semangat berniaga anda. Semoga sukses!

Sumber-Sinar Harian

Advertisement


EmoticonEmoticon

 

Start typing and press Enter to search